The Red Warrior sejati.... (alfatihah untuk Allahyarham Rosli Ismail)

Arwah Rosli Ismail

Rasanya tak ramai yang kenal Rosli Ismail. Hatta mereka yang selalu bakar mercun dan kerusi stadium serta mengaku penyokong kuat Red Warriors pun mungkin tidak tahu siapa Rosli Ismail yang sebenarnya.


Rosli Ismail mungkin tidak sefemes rakan sepasukannya yang lain, seperti Halim Napi atau Hashim Mustapha. Mungkin juga tidak sehandal pemain-pemain Red Warriors masa kini. Tapi bagi mereka yang benar-benar menghargai bolasepak sebagai sukan rakyat (bukan sebagai medan buat perangai nate beruk) maka mereka pastinya tahu sumbangan Rosli Ismail buat Negeri Tanah Rendah Sekebun Bunga.

Rosli Ismail bermain sebagai bek kiri Kelantan ketika awal dekad 1990-an. Beliau bukanlah pemain utama skuad Kijang Emas (masa itu jolokan Red Warriors belum ‘in’ lagi) tetapi lebih kepada pemain simpanan. Oleh kerana itu Rosli Ismail lebih banyak memanaskan bangku simpanan atau sekadar bermain untuk perlawanan Liga Simpanan.

Dalam penghujung saingan musim 1994, Kelantan yang berada di posisi pertengahan Liga-M berdepan dengan masalah kekurangan pemain. Zahasmi Ismail dan Halim Napi telah digantung sepanjang musim, sementara Wan Ezila Daud dan V Sundram Moorthy pula mengalami kecederaan. Kelantan tewas mengejut 1-0 kepada Perlis di Kangar, pasukan bawahan Liga-M.

Namun dalam perlawanan yang sama dalam Liga Simpanan, pasukan simpanan Kelantan menewaskan pasukan simpanan Perlis 4-3 selepas pada mulanya ketinggalan dengan dua gol. Salah seorang pemain yang menonjol dalam perlawanan itu ialah Rosli Ismail.

Kejayaan tersebut membuka ruang buat Rosli Ismail dan beberapa pemain simpanan lain bermain untuk kesebelasan utama, menggantikan tempat pemain utama yang digantung atau mengalami kecederaan. Kelantan mula menunjukkan peningkatan positif dengan Rosli Ismail bermain untuk hampir semua perlawanan skuad Kijang Emas seterusnya. Malah pada satu masa beliau bermain 90 minit penuh selama 3 perlawanan berturut-turut.

Apa yang hebat sangat bermain dengan 90 minit penuh selama 3 perlawanan berturut-turut?

Mungkin ia perkara biasa buat Norshahrul Idlan Talaha atau Indra Putra Mahyuddin. Tapi bagi Rosli Ismail ia satu pencapaian luar biasa. Luar biasa kerana Rosli Ismail adalah seorang bekas penghidap penyakit polio.

Diserang polio ketika kecil, Rosli Ismail mengalamai kecacatan fizikal kekal. Kaki kirinya lebih kecil dari kaki kanan. Dan seperti mana bekas pesakit polio yang lain, beliau sebenarnya tidak boleh melibatkan diri dalam aktiviti fizikal untuk tempoh yang terlalu lama. Doktor sebenarnya menghalang Rosli Ismail dari bermain 90 minit penuh.

Pun begitu, Rosli Ismail masih berdegil. Beliau sedar Kelantan kekurangan pemain ketika itu dan mereka perlu mengutip mata sebanyak yang mungkin untuk layak ke saingan Piala Malaysia (kelayakan hanya untuk 10 pasukan teratas liga). Atas sebab itu beliau terpaksa bermain 90 minit penuh untuk Kelantan. Kesan darinya Rosli Ismail mengalami kesesakan nafas dan selalunya muntah selepas perlawanan kerana tekanan fizikal yang melampau.

Semangat juang Rosli Ismail dan rakan sepasukan yang lain berjaya membawa Kelantan ke saingan Piala Malaysia. Mereka bagaimanapun gagal melepas saingan peringkat kumpulan, berada di dasar Kumpulan B yang turut dihuni Kedah, Selangor, Johor dan Terengganu, terperosok di dasar tanpa sebarang kemenangan.

DAN hari ini 16 Disember 2012  kira-kira jam 5.00 pagi beliau telah meninggalkan kita semua. Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 44 tahun. Alfatihah.....


Kredit untuk sokernet...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan