Ultras Kelantan The Red Mania (UKTRM)

*************************************
♫ Assalamualaikum ♫
Logo UKTRM





NAMPAK SAJA GANAS…………

Kewujudan Ultras Kelantan The Red Mania (UKTRM) yang diasaskan pada 14 Disember 2010 bukan untuk bersaing dengan mana-mana kelab penyokong di negeri ini.

Sebaliknya, ultras yang menggunakan tema ’Pride of Kelantan’ diwujudkan atas dasar memberikan sokongan padu di samping merancakkan senario bola sepak Kelantan yang kembali memuncak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bermula dengan sokongan julung kali ketika aksi pertemuan Liga Super, Kelantan menentang Terengganu pada 1 Februari tahun lalu, UKTRM jelas tidak menoleh ke belakang malah terus menjadi ‘penghuni setia’ setiap kali The Red Warriors beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. 

Tidak kira sama ada Kelantan beraksi sendiri mahu pun tempat lawan, UKTRM tetap berdiri teguh memberi sokongan kepada TRW. Sebut sahaja di mana venue pertandingan, mereka pasti hadir memberikan sokongan.

GABUNGAN RED MANIA DAN MANITA........

Sehingga kini jumlah keahlian UKTRM sudah mencecah 100 orang termasuk yang berada di Lembah Kelang. Ahli paling muda masih lagi berada di bangku sekolah seawal usia 13 tahun sementara ahli paling tua berusia sekitar 50 tahun.

UKTRM turut dianggotai 10 wanita atau digelar Red Manita yang bergabung tenaga bersama dengan ahli lelakinya yang dikenali Red Mania. Lebih menarik, kewujudan ultras tidak dibiayai mana-mana pihak malah mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri termasuk membeli tiket perlawanan.

Daripada segi keahlian, tiada had malah mereka sentiasa mengalu-alukan penyertaan peminat bola sepak tempatan untuk menyertai kumpulan itu. 

Ironiknya untuk mengecam seseorang ahli ultras itu cukup mudah iaitu mereka memakai pakaian hitam dan mafla ketika hadir di stadium. Itu merupakan warna rasmi kerana ia sinonim dengan pergerakan ultras seluruh dunia.

SOKONGAN BERBEZA TETAPI MATLAMAT SAMA.......

Daripada sokongan Ultras Kelantan berbanding kelab penyokong lain mungkin berbeza tetapi matlamat mereka tetap sama. Bezanya mereka akan memberi sokongan tanpa henti dengan menyanyi lagu semangat sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Nyanyian lagu semangat ataupun dikenali ‘chant’ sebanyak tujuh hingga 10 lagu itulah yang mengiringi perjuangan barisan pemain The Red Warriors ketika beraksi di padang.

Dalam Ultras, tidak ada istilah ketua sebaliknya mereka akan dipimpin oleh beberapa individu atau dikenali ‘Capo’ secara bergilir-gilir ketika menyanyikan lagu semangat.

Ahli mereka dikenali ‘komrad’ akan menyanyikan bersama-sama lagu semangat tersebut. Bagi mereka, sama ada pasukan kesayangan mereka berdepan kekalahan sekali pun, mereka akan tetap memberi sokongan bagi menaikkan moral pemain.

AGRESIF TETAPI BERDISIPLIN.............

Seperti ultras negeri lain, UKTRM juga mempunyai ‘port’ tersendiri ketika mereka hadir memberi sokongan kepada pasukan Kelantan. Mereka akan berada di kawasan lengkungan di dalam stadium atau dikenali ‘Curve’ melalui pintu masuk H.

Ia juga dikenali sebagai ‘Home of 12 Players’ bagi mereka. Mungkin daripada segi sokongan mereka tampak agresif termasuk menyalakan ’flare’ namun bagi mereka itu bertujuan memeriahkan suasana perlawanan.

Malah mereka menerapkan disiplin yang tinggi dan tidak membenarkan sama sekali komradnya membaling mercun, objek mahu pun mencetuskan pergaduhan kerana ia bertentangan dengan prinsip ultras.

Sekiranya komradnya didapati melanggar peraturan, mereka akan berdepan dengan penyikiran.

JANGAN PANDANG SERONG UKTRM.............

Isu penangkapan seramai 26 penyokong bola sepak sebelum perlawanan Piala Sumbangsih, Kelantan menentang Negeri Sembilan pada 7 Januari lalu nyata mengejutkan banyak pihak.

Bukan lagi rahsia apabila 24 daripada 26 penyokong yang dimaksudkan merupakan sebahagian daripada komrad UKTRM yang hadir memberi sokongan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun UKTRM tampil memberi penjelasan bahawa kesalahan komrad mereka hanyalah untuk cubaan untuk membawa masuk ‘flare’ ke dalam stadium dan tidak terbabit dengan penemuan ganja dan senjata tajam milik penyokong lain seperti didakwa.

Insiden tersebut menjadi pengajaran UKTRM dan berharap masyarakat tidak memandang serong penglibatan mereka dalam memberi sokongan kepada pasukan bola sepak Kelantan.
Sahabat Ultras, Sinar Harian  10 Feb 2012 Sabtu.



***** petikan
           Tulisan Mazram Idzam Ridzal Mahmud

p/s ::: nak tau lebih lanjut tentang UKTRM nih sila klik SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan